Penjejak Ilmu

Dialek Johor dari Aspek Fonetik dan Fonologi

DIALEK JOHOR

Apabila orang menyebut “dialek Johor”, maka timbul perkaitan konsep itu dengan bahasa standard. Ini disebabkan tanggapan umum yang mengatakan bahawa bahasa standard berasaskan dialek berkenaan. 
Jika dibandingkan dengan kawasan-kawasan dialek lain, kawasan dialek Johor boleh dikatakan paling kurang darjat kepelbagaian. Kecuali di kawasan sempadan, yakni di sebelah utara, dari pantai barat hingga ke pantai timur di mana kelihatan campur aduk ciri-ciri dialek johor dengan dialek Melaka di satu pihak dan ciri-ciri dialek Johor dengan dialek Pahang di pihak yang lain, maka tidak terdapat perbezaan-perbezaan yang besar dari segi sistem bunyi bahasa yang dituturkan.
Dari perbezaan-perbezaan yang kecil itu kita dapat membahagikan kawasan dialek Johor kepada tiga subkawasan, iaitu subkawasan Johor yang meliputi sebahagian besar negeri Johor dari utara hingga selatan. Subdialeknya dinamakan subdialek Johor Bahru. Subkawasan Muar – Batu Pahat yang membentang hingga ke Melaka Selatan. Subdialeknya dinamakan subdialek Muar – Batu Pahat. Akhir sekali subkawasan Mersing.
Dari ketiga-tiga subdialek itu, subdialek di subkawasan Johor yang meliputi  sebahagian besar negeri Johor dari utara hingga selatan itu boleh dianggap sebagai asas dialek Johor, berdasarkan dua faktor. Pertama ialah keluasan subkawasan itu dibandingkan dengan yang lain. Kedua ialah ciri-ciri linguistik yang menunjukkan bahawa subkawasan ini pada keseluruhannya memberi pencirian kepada dialek Johor  yang membezakannya dari dialek-dialek lain (kecuali subdialek Kuala Lumpur), kerana penyimpangan-penyimpangan yang terdapat dalam subdialek yang terdapat pada subkawasan Muar – Batu Pahat dan subkawasan Mersing merupakan ciri-ciri yang terdapat dalam dialek-dialek lain, yang bersempadan dengan subdialek-subdialek itu.
Di samping itu di Johor terdapat kawasan-kawasan tertentu yang penduduknya berasal dari Jawa, misalnya Pontian, dan ciri-ciri bahasa Jawa mempengaruhi bahasa mereka.


Subdialek Johor Bahru
Untuk keperluan kajian ini subdialek asas itu dinamakan subdialek Johor (JB). Subdialek ini berpusat di Johor Bahru dan menyebar ke utara hingga ke sempadan Pahang.
    Subdialek ini mempunyai enam vokal, yang kesemuanya merupakan vokal kardinal primer. Penyebaran vokal-vokal itu sama dengan penyebaran vokal-vokal yang terdapat dalam bahasa standard, khususnya bahasa standard kelainan pepet. Demikian juga halnya dengan diftong dan rangkap vokal.
      Perbezaan dengan bahasa standard ialah dalam penyebutan konsonan [ u ] dalam suku kata akhir tertutup. Dalam bahasa standard  diwujudkan sebagai [ u ] yang ciri fonetiknya lebih rendah daripada [ u ] tetapi lebih tinggi  dari [ o ]. Dalam subdialek Johor Bahru kesepadanannya jelas merupakan [ o ]. Sebagai contoh.
Johor Bahru
Bahasa Standard
[cabot]
[cabut]
[mələtop]
[mələtup]
[putos]
[putus]
[timbol]
[timbul]

       Dengan itu, [ o ] dalam subdialek Johor seperti yang terdapat dalam senarai di atas itu sama dengan [ o ] dalam [koto] dan [boco] seperti yang diperlihatkan pada contoh yang berikutnya.
         Pada keseluruhannya, konsonan-konsonan dalam subdialek ini sama dengan konsonan asli yang terdapat dalam bahasa standard. Demikian juga dengan penyebaran konsonan-konsonan itu. Perbezaannya terletak pasa satu konsonan, iaitu konsonan frikatif velar [ ɣ ] yang kesepadanannya dalam bahasa standard ialah getaran velar [ r ].
Johor Bahru
Bahasa Standard
[ɣumah]
[rumah]
[maɣah]
[marah]

        Dari segi penyebarannya, [ ɣ ] subdialek Johor memperlihatkan persamaan dengan [ r ] dalam bahasa standard kelainan pepet, yakni konsonan ini dapat hadir hanya dalam  lingkungan sebelum dan antara vokal. Dalam lingkungan akhir kata konsonan ini digugurkan dan digantikan dengan kesenyapan. Sebagai contoh :-
Johor Bahru
Bahasa Standard
[leba]
[lebar]
[gela]
[gəlar]
[koto]
[kotor]
[boco]
[bocor]

            Konsonan [ r ] juga tidak terdapat sebagai koda suku kata lain. Misalnya, awalan yang dalam bahasa standard merupakan ber- mempunyai kesejajaran dengan [ bə ] dalam subdialek Johor. Sebagai contoh :-
Johor Bahru
Bahasa Standard
[bəlari]
[bərlari]
[bəmain]
[bərmain]

      Rangkap-rangkap konsonan yang terdapat dalam subdialek ini merupakan rangkap nasal – oral, seperti mp, mb, nt, nd, nc, nj, ngk, ngg, dan ngs yang penyebarannya hanya dalam lingkungan sebelum dan antara vokal seperti yang terdapat dalam bahasa standard.


Perbandingan Subdialek Johor Bahru dengan Subdialek-Subdialek Lain
Seperti yang sudah dikatakan terlebih dahulu, perbezaan-perbezaan antara subdialek-subdialek itu sangat kecil. Penyimpangan subdialek Muar – Batu Pahat terletak pada penyebutan “-ar” akhir kata. Dalam subdialek Johor, [ r ] atau frikatif velarnya digugurkan, tetapi proses ini tidak mengubah nilai fonetik vokal [ a ] sebelumnya. Dalam subdialek Muar – Batu Pahat, penguguran konsonan berkenaan melibatkan perubahan nilai fonetik vokal tersebut, menghasilkan [ o ]. S    ebagai contoh :-
Johor Bahru
Muar – Batu Pahat
Bahasa Standard
[baka]
[bako]
[bakar]
[leba]
[lebo]
[lebar]
[bəsa]
[bəso]
[bəsar]

        Penghasilan [ o ] itu menyebabkan subdialek Muar –Batu Pahat memiliki sistem tujuh – vokal. Sebagai lawan sistem enam –vokal yang terdapat dalam subdialek Johor Bahru. Subdielek Mersing pula menyimpang dari subdialek Johor Bahru dalam penyebutan urutan-urutan vokal ia, ai, au, ua. Dalam subdialek Johor Bahru urutan-urutan tersebut dihasilkan sebagai rangkap vokal ia, ai, ua dan au, tetapi dalam subdialek Mersing urutan itu disela oleh hentian glotis [ ʔ ] dan dengan itu penghasilannya bukanlah sebagai rangkap vokal. Sebagai contoh :-
Johor Bahru
Mersing
Bahasa Standard
[diə]
[diʔə]
[dia]
[baeʔ]
[baʔeʔ]
[baik]
[buah]
[buʔah]
[buah]
[pəɣau]
[pəraʔu]
[pərahu]
[pəɣioʔ]
[pəriʔok]
[pəriuk]


Kesimpulan
Dalam membuat perbandingan seperti di atas itu kita tidak dapat menafikan bahawa subdialek Johor Bahru itu menembusi subkawasan-subkawasan lain. Dengan itu memang pada kenyataannya ada penutur-penutur subdialek Muar – Batu Pahat misalnya, terutama sekali yang tinggal dalam kawasan bandar, yang penuturan bahasanya itu sama dengan subdialek Johor Bahru. Demikian juga halnya dengan subkawasan Mersing.
            Ciri khusus bagi subdialek Muar – Batu Pahat, seperti yang dihuraikan di atas, memperlihatkan persamaan dengan dialek Melaka. Demikian juga ciri khusus subdialek Mersing memperlihatkan persamaan dengan subdialek Rompin di Pahang. Ini merupakan kawasan pengwujudan dari faktor kesinambungan bahasa dalam kawasannya, yang diperkuatkan oleh pertembungan antara penutur-penutur dari kawasan-kawasan yang bersempadan satu sama lain. Dari sejarahnya juga, Melaka, Johor dan Pahang mempunyai perkaitan sejarah yang erat, baik dalam zaman kesultanan Melaka mahupun sesudahnya.
           Perbandingan di atas itu memperlihatkan kepada kita bahawa dialek Johor mempunyai darjat keseragaman yang paling tinggi di Semenanjung. Ini mungkin disebabkan oleh perhubungan antara subkawasan-subkawasan dialek ini, yang lebih mudah jika dibandingkan dengan perhubungan  antara subkawasan-subkawasan di Pahang dan Terengganu. Faktor ini boleh dikaitkan dengan faktor geografi yang menunjukkan bahawa Johor tidak dicirikan oleh sungai yang besar-besar atau gunung yang tinggi-tinggi. Faktor lain yang menyebabkan adanya darjat kerseragaman yang tinggi itu ialah faktor bahasa standard.
            Perkaitan bahasa standard dengan dialek Johor dapat dilihat dalam konteks sejarah. Konsep penyebutan standard muncul dengan adanya komunikasi melalui radio, yakni Radio Malaya, yang pada mulanya berpusat di Singapura dalam zaman penjajahan. Orang-orang yang menjadi juruhebah, pembaca berita bahkan orang-orang yang menggubal dasar rancangan Radio Malaya, kebanyakannya adalah orang-orang Johor dan Singapura. Dengan itu tidak hairanlah bahawa penyebutan yang digunakan itu adalah yang berasaskan penyebutan dialek Johor. Tradisi ini diteruskan hingga sekarang ini. Faktor bahasa standard inilah juga yang merapatkan subkawasan-subkawasan dialek Johor itu.

No comments:

Post a Comment